Ustaz pun membaca petikan dari kitab kuning bertulisan jawi, "Aku mengadu kepada guruku bahawa seribu kubur sudah aku gali. Aku dapati tiada satu pun yang menghadap kiblat. Maka guruku berkata itulah petanda orang yang syak pada rezeki."
Ustaz menutup kitab itu dan mengulas lanjut, "Inilah balasan orang yang syak pada rezeki. Mayatnya nanti dipalingkan dari kiblat. Ini berlaku lebih seribu tiga ratus tahun dahulu."
Ustaz berhenti sejenak sebelum menyambung cerita, "Mari kita lihat peristiwa yang berlaku tidak sampai sebulan di Batu Caves. Seorang budak lelaki umur 18 tahun pelajar Tahfiz. Mati dalam kemalangan."
"Setelah dikebumikan, Imam bermimpi didatangi arwah memintanya mengubah mayat menghadap kiblat semula. Tiga malam berturut-turut Imam tersebut mendapat mimpi. Maka Imam itu bercerita kepada ayah arwah. Ayah budak itu pun mendapat mimpi yang sama. Kemudian ditanya pula orang yang memandikan mayat, mimpi yang sama juga."
"Tetapi urusan menggali semula kubur bukanlah mudah. Ada prosedur seperti laporan polis. Diringkaskan cerita, perkara itu dimajukan kepada Pegawai Agama JAKIM. Pegawai Agama JAKIM kesal sebab sudah 15 hari berlalu."
"Pada hari digali kubur, didapati kain kafan masih elok. Mayat masih wangi. Tiada ulat yang memakan daging mayat."
Ustaz mengulas lagi, "Inilah petanda bahawa budak ini sepanjang hidupnya dia reda dengan rezeki Allah. Tidak pernah ragu jaminan rezeki di sisi Allah. Hari ini ramai kita lihat ibu bapa apabila mahu menghantar anak ke sekolah agama, akan mempersoal; Apa kerja nanti jika belajar agama?"
"Maka tunggulah mereka ini apabila mati nanti mayat mereka berkalih dari menghadap kiblat."
Menurut ustaz lagi, mimpi berkaitan orang yang telah mati tidak perlu ditakwil sewenang-wenang melainkan dirujuk kepada orang yang alim. Kata ustaz, "Ada satu kes seorang anak bermimpi melihat ayahnya keluar dari kubur. Tanpa bertanya mana-mana guru agama, dia menggali semula kubur. Maka didapatinya keadaan mayat bapanya dalam keadaan yang menyedihkan. Jika bermimpi seperti ini, itulah petanda mayat diazab di dalam kubur."
Kesimpulan, soal rezeki janganlah kita ragu. Yakinlah bahawa rezeki suatu hal yang dijamin Allah. Kita sepanjang hidup ini dianjurkan berusaha memperoleh rezeki. Sedikit atau banyak usah dipertikai kerana itu hak Allah. "Redakah kita dengan rezeki Allah ini? Mari sama-sama kita muhasabah."
--------------------------------------
Diceritakan oleh Ustaz Abd. Aziz Arof, pengkuliah Kitab Muniatul Musholli, 27 Jun 2010, Masjid al-Hidayah, Sentul, KL.
0 comments:
Post a Comment