GURU: “Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas,”
MURID: “Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
GURU: “Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
MURID: “Karung guni?” (seperti tidak percaya.)
GURU: “Mari kita ke pasar!”
Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
GURU: “Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,”
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
MURID: “Cukup?”
GURU: “Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
MURID: “Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
GURU: “Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?”
MURID: “Ya, ya…” (sambil memikul guni yang berat itu kelelahan).
RAKAN LUAR: “Banyak beli barang,” (apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu).
ORANG PASAR: “Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli, Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,”
Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
MURID: “Oh, letih sungguh… apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?”
GURU: “Tak buat apa-apa.”
MURID: “Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,”.
GURU: “Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas…”
MURID: “Bagaimana?” tanya anak murid itu kehairanan.
GURU: “Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal.”
MURID: “Dengan memikul batu-batu ini?”
GURU: “Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak’. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu…”
MURID: “Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
GURU: “Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat…”
MURID: “Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYA’ dalam beramal.
Pengajaran:
Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.
Allah berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang) .”
(An-Nisa’: 142)
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.
(Al-Baiyinah: 5)
Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:
“Yang sangat saya khuatirkan atas kamu ialah syirik yang terkecil." Sahabat bertanya: "Ya Rasullullah, apakah syirik yang kecil itu?" Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Riya’”.
0 comments:
Post a Comment