Saturday, October 16, 2010

Lobi antarabangsa mendokong jenayah Israel

Cynthia McKinney, seorang bekas Ahli Kongres Amerika, mendedahkan wujudnya satu lobi antarabangsa yang mempunyai tajaan kewangan yang begitu kukuh demi membantu Israel melanggar undang-undang antarabangsa.

“Status yang dinikmati oleh Israel adalah merupakan hasil daripada satu lobi yang mendapat bantuan kewangan yang sangat kukuh yang mempertahankan semua kepentingan Israel,” kata McKinney dalam satu temuramah bersama Press TV pada hari Selasa, 12 Oktober lalu.

Menurut McKinney, masalah di mana negara Israel terus mengelakkan diri daripada undang-undang antarabangsa bukan sahaja menggugat Amerika, tetapi seluruh masyarakat antarabangsa dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB.)

“Lihat saja apa yang berlaku ke atas Hakim Richard Goldstone apabila dia menulis satu laporan yang mendedahkan kebenaran tentang apa yang dilakukan oleh Israel berkaitan serangan Operation Cast Lead,” sambung McKinney lagi.

Serangan Israel ke atas Gaza pada musim sejuk tahun 2008-2009 mengorbankan 1,400 nyawa rakyat Gaza, kebanyakan daripada mereka adalah masyarakat awam. Kerugian ekonomi ke atas wilayah yang diserang itu dianggarkan sebanyak USD1.6 bilion.

Laporan PBB yang dikenali sebagai Goldstone Report itu menyenaraikan jenayah-jenayah yang dilakukan Zionis Israel dalam serangan tersebut, termasuklah jenayah menembak masyarakat awam dengan sengaja. Laporan itu juga menekankan sikap kerakusan tentera Zionis menggunakan senjata fosforus putih untuk memusnahkan kawasan berkenaan. Kekejaman itu jelas berlaku ketika mereka menyerang kedudukan UN Relief and Workd Agency (UNRCA) di Gaza City dan di dua buah hospital di kawasan lain.

McKinney juga menarik perhatian kepada serangan Israel ke atas Freedom Flotilla yang sedang dalam pelayaran untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah Gaza yang disekat sejak hampir 5 tahun lalu. Beliau menekankan bahawa rejim Zionis, dalam usaha menolak kutukan antarabangsa ke atas serangan itu, mendakwa tindakan mereka itu adalah selaras dengan undang-undang.

Komen McKinney ini dibuat setelah bekas anggota kanan White House Press Corps, Helen Thomas, membuat kenyataan bahawa tidak ada siapa yang boleh bertahan tinggal di Amerika sekiranya dia mengkritik Israel.

Thomas telah dipaksa meletakkan jawatannya pada bulan Jun lalu apabila beliau mencadangkan supaya Israel “keluar dari bumi Palestin.”

McKinney menegaskan bahawa lobi Israel terus menyokong kepentingan rejim Zionis, “tidak kira sistem politik apa yang digunapakai (di tempat lobi dilakukan.)”

Beliau juga mencadangkan supaya satu lobi masyarakat antarabangsa yang kukuh kewangannya dan tersusun rapi ditubuhkan bagi melawan kesan-kesan akibat lobi Israel, demi mempertahankan keamanan dan keadilan.

http://haluanpalestin.haluan.org.my/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...