Tanpa kita sedari Ramadhan telah hampir ke penghujungnya. Tidakkah kita sedar bahawa 10 malam terakhir Ramadhan ini adalah peluang kita untuk memperbanyakkan lagi amal ibadat yang mana di dalamnya terdapat Lailatul Qadar. Lailatul Qadar fadilatnya menyamai kebaikan selama 83 tahun 4 bulan. Fadilat ini diberitakan sendiri oleh Allah, Pencipta seluruh alam.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:”Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran lailatulqadar itu? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr 97 : 1-5)
Sedarlahkah kita bahawa Allah hanya menganugerahkan malam al-Qadar ini hanya kepada umat Muhammad. Alangkah besarnya nikmat ini dan alangkah tingginya ihsan Allah kepada umat ini. Rasulullah juga menyatakan bahawa kemuncak kepada kemuliaan yang akan diperolehi seseorang hamba yang tekun beribadah pada malam al-Qadar ini adalah mendapat keampunan secara keseluruhan terhadap segala dosa yang menyebabkan seseorang itu menjadi bersih-sebersihnya.
Cuba kita lihat pada hari ini, semakin hampir dengan bulan syawal maka semakin berkuranglah jemaah di surau dan di masjid. Adakah kita termasuk dalam kelompok yang itu? Sekiranya termasuk dalam kelompok itu marilah kita bermuhasabah semula supaya masih ada kesempatan untuk kita mencari malam al-Qadar.
Marilah sama-sama kita mengajak orang yang terdekat dengan kita untuk memeriahkan 10 malam terakhir ini. Peluang seperti ini hanya datang sekali dalam setahun. Ingatlah bahawa perkara duniawi yang kita kejar tidak akan kekal lama. Nanti kelak kita akan dijemput olehNya ke alam yang kekal abadi iaitu alam akhirat tetapi adakah amalan kita sudah mencukupi sebagai bekalan alam akhirat. Renung-renungkanlah.
0 comments:
Post a Comment